Enter your keyword

Monday, April 20, 2026

Bulan Zulkaedah - Apa Amalan Yang Boleh Dilakukan?

By On April 20, 2026
Bulan Zulkaedah- Apa Amalan Yang Boleh Dilakukan? Selepas syawal dah habis, masuklah pula bulan Zulkaedah iaitu bulan ke 11 dalam kalendar Islam hijriah. Zulkaedah juga antara bulan haram. Kenapa Zulkaedah dipanggil bulan haram? 

Zulkaedah dipanggil bulan haram kerana ia adalah salah satu daripada empat bulan suci dalam Islam (bersama Muharram, Rejab, dan Zulhijjah) di mana peperangan, pertumpahan darah, dan maksiat diharamkan serta dilarang keras. Ia merupakan waktu yang dimuliakan Allah, di mana dosa dan pahala digandakan, serta menjadi tempoh berehat dan persiapan untuk ibadah haji. 

Bulan Zulkaedah - Apa Amalan Yang Boleh Dilakukan?

Bulan Zulkaedah - Apa Amalan Yang Boleh Dilakukan?


Daripada Abi Bakrah Nafi’ bin al Harith RA, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

عن أبي بكرة نفيع بن الحارث رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏   الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

"Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor yang terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban.” (HR Bukhari No: 4054) Status: Hadis Sahih

Hikmah Dan Pengajaran Hadis Tentang Bulan Zulkaedah 


1.  Bulan Haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) bermaksud bulan ini diharamkan berperang juga sebarang kezaliman dan setiap kezaliman yang dilakukan dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain. Umat Islam dituntut untuk memuliakan bulan-bulan ini dengan meningkatkan amal ibadah.

2.  Imam al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan pada bulan bulan ini juga adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. (Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 130/4)

3.  Dalam  empat bulan ini, umat Islam diperintahkan untuk menjauhi peperangan, kezaliman, dan dosa, kerana kemuliaan waktu ini menjadikan dosa lebih besar dan pahala lebih berganda. Empat bulan haram adalah peluang untuk memperbanyak amal soleh dan meninggalkan dosa. Umat Islam digalakkan berpuasa sunat, memperbanyak sedekah dan ibadah lain dalam bulan ini.

4.  Ambillah kesempatan ketika berada di bulan Zulkaedah dan Zulhijjah yang merupakan antara bulan yang mulia untuk melakukan pelbagai amal soleh. Antara amal soleh yang boleh dilakukan:

a)  Perbanyakkan zikir, membaca al-Quran, berdoa dan memohon  keampunan
b)  Puasa sunat seperti isnin, khamis, 13, 14 & 15 haribulan
c)  Hidupkan malam hari dengan ibadat qiamullail
d)  Perbanyakkan bersedekah dan melakukan amal kebajikan yang lain
e)  Berusahalah melaksanakan ibadat kurban pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah
f)  Berusahalah meninggalkan maksiat dan perkara yang tidak berfaedah

Alhamdulillah, melalui perkongsian di atas kita dapat menelurusi hikmah dan pengajaran daripada hadis yang berkaitan. Bulan Zulkaedah adalah antara satu daripada 4 bulan yang haram. Maka, jauhilah perkara yang di larang oleh Allah ditakuti kerananya dosa kita jadi berganda!! Dekatkanlah diri dengan perkara yang Allah suka agar pahala kita digandakan sebanyak-banyaknya.
#Penafian:❤:
Gambar, artikel ataupun video yang ada di dalam blog ini ada sesetengahnya yang diambil dari pelbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika timbul masalah mengenai perkara ini, anda boleh menghubungi saya di Contact Me. Artikel dan catatan adalah ulasan serta pendapat peribadi saya berdasarkan persekitaran, pengalaman dan pengetahuan. Kesilapan (jika ada) adalah khilaf saya dan mohon dimaafkan.

Saturday, April 18, 2026

Apakah Hayyin, Layyin, Sahl dan Qarib?

By On April 18, 2026
Apakah Hayyin, Layyin, Sahl dan Qarib? Kenapa kita kena jadi seperti itu? Adakah ia satu sifat yang baik? Banyak persoalan di minda yang perlukan jawapan. Nak tahu apakah yang disebut Hayyin, Layyin, Sahl dan Qarib itu? Baca perkongsian menarik di bawah ini.

Apakah Hayyin, Layyin, Sahl dan Qarib?

Apakah Hayyin, Layyin, Sahl dan Qarib?


Daripada Ibn Masud RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:


عن ابن مسعود، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: حُرِّمَ عَلَى النَّارِ كُلُّ هَيِّنٍ لَيِّنٍ سَهْلٍ قَرِيبٍ مِنَ النَّاسِ

Maksudnya:

Diharamkan ke atas api neraka, setiap orang yang bersikap rendah hati (tenang), lemah lembut, mudah berurusan, serta dekat dengan manusia (mudah didekati) - (HR Tirmizi No 2488).  Status: Hadis Hasan Sahih 

 

Pengajaran dari hadis


1.  Ciri-ciri orang yang dijauhkan daripada neraka:

a)  (hayyin): Orang yang bersikap tenang, tidak cepat marah, tidak kasar, tidak mudah melaknat.
b)  (layyin): Lembut tutur katanya, lembut pergaulannya, mudah ditegur, santun dan tidak kasar.
c)  (sahl): Mudah berurusan, tidak menyusahkan orang lain, tidak cerewet.
d)  (qarīb mina al-nās): Mudah didekati, mesra dengan masyarakat, tidak sombong atau menjauhkan diri.

2.  Ganjaran besar bagi akhlak mulia:

a)  Orang yang memiliki sifat-sifat ini mendapat keistimewaan yang sangat besar – dijauhkan dari azab neraka.
b)  Hal ini menunjukkan betapa pentingnya akhlak dalam Islam. Bukan hanya ibadah, bahkan hubungan sesama manusia juga menentukan tempat seseorang di akhirat.

3.  Kepentingan menjadi insan yang disenangi:

a)  Islam sangat menitikberatkan nilai sosial dan akhlak yang baik dalam pergaulan.
b)  Menjadi orang yang menyenangkan, mudah didekati, dan ringan tulang adalah cerminan keimanan yang benar.

4.  Berusahalah memiliki sifat lemah lembut, tidak kasar, tidak menyusahkan orang lain serta mudah didekati. Sifat-sifat ini bukan sahaja membawa manfaat di dunia (disenangi manusia), tetapi juga di akhirat (dijauhkan dari neraka). Dengan memupuk sifat-sifat ini, seorang Muslim bukan sahaja disenangi manusia, tetapi juga mendapat rahmat dan perlindungan daripada Allah SWT.

Dalam kehidupan semua orang pada asasnya nak jadi baik, suka buat baik. Cuma kadangkala nafsu bertindak melebihi akal, lalu menjadikan hidup bertukar sebaliknya. Oleh itu, kembalilah kepada asal kita kenapa dilahirkan ke dunia, tidak lain untuk 'bekerja' - beribadah kepada Allah.
#Penafian:❤:
Gambar, artikel ataupun video yang ada di dalam blog ini ada sesetengahnya yang diambil dari pelbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika timbul masalah mengenai perkara ini, anda boleh menghubungi saya di Contact Me. Artikel dan catatan adalah ulasan serta pendapat peribadi saya berdasarkan persekitaran, pengalaman dan pengetahuan. Kesilapan (jika ada) adalah khilaf saya dan mohon dimaafkan.

Thursday, April 16, 2026

Baca Ya Malikul Quddus Selepas Solat Subuh Bagi Kesihatan Organ Wanita

By On April 16, 2026
Amalkan Baca Al Malikul Quddus Bagus Untuk Kesihatan Organ Wanita. Wanita antara golongan yang paling ramai dihinggapi penyakit betkaitan organ seperti kanser payudara, sakit buah pinggang dan juga rabun mata. Namun begitu, kita janganlah patah semangat menghadapi dugaan sakit yang singgah pada tubuh badan. Ada bermacam cara perubatan moden yang boleh dilakukan untuk merawat penyakit.

Al malikul Quddus adalah antara 99 nama Allah yang amat indah dan agung. Dalam setiap nama tersebut ada pelbagai khasiat dan fadhilat jika dizikirkan setiap hari.

Amalkan Baca Al Malikul Quddus Bagus Untuk Kesihatan Organ Wanita

Selain itu, boleh juga menggunakan amalan perubatan islam dan zikir tertentu seperti asmaul husnaa untuk melindungi organ tubuh wanita.

Amalkan Baca Al Malikul Quddus Bagus Untuk Kesihatan Organ Tubuh Wanita


Asmaul Husna memang banyak fadhilatnya. Amalkan berzikir dengan asmaul husna tertentu dapat memberikan manfaat yang banyak kepada kita, samada untuk kehidupan di dunia dan akhirat.

Baiklah, saya nak share satu amalan zikir menggunakan asmaul husna yang dapat merawat tubuh, terutamanya kepada kaum wanita.

Mengikut pesanan seorang ustazah (dalam facebook), setiap hari selepas solat subuh bacalah "Ya Malikul Quddus" sebanyak (11kali). Ia akan melindungi wanita daripada penyakit yang berkaitan dengan organ wanita..


Mari kita lihat maksud asmaul husna yang disebutkan, iaitu

Al Malikul ~ Al Malik ini bermakna Maha Merajai. Sesiapa yang mengamalkan membaca Ya Malik pada bila-bila masa, maka dia akan mendapat penghormatan dan menerima layanan yang sewajarnya dari orang lain.

Quddus ~ Seterusnya ialah Al Quddus, yang membawa maksud, Maha Suci. Sesunggunhya Allah itu Maha Suci yang tiada cacat cela dan kekurangan.

Jadi, dengan mengetahui maksudnya, anda dapat amalkan zikir tersebut selepas solat Subuh dengan penuh pengharapan agar Allah melindungi kita daripada penyakit merbahaya.

Wallahua'lam.

Monday, April 13, 2026

Sifat-Sifat Mereka Yang Diredhai Allah

By On April 13, 2026
Sifat-Sifat Mereka Yang Diredhai Allah. Kita hidup di ataa muka bumi ini hanya mahukan redha Allah. Tiada lain selain Allah. Bukan redha manusia atau sesiapa saja yang lebih pangkatnya dari kamu. Redha Allah lah yamg paling utama. Kerana kita hidup hanya berharap Allah redha.

Sifat-sifat seperti beradab, berkasih-sayang, bertakwa, dan yang lainnya ini membentuk kepatuhan, ketundukan, dan ketaatan dalam menerima segala perintah dan meninggalkan larangan Allah.

Sifat-Sifat Mereka Yang Diredhai Allah

Sifat-Sifat Mereka Yang Diredhai Allah


Firman Allah SWT :

وَعِبَادُ الرَّحْمَـٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا - (Al-Furqan - 63)

Terjemahan :

“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini."

Apakah Ciri Sifat-Sifat Yang Diredhai


Sifat yang diredhai Allah ada banyak, selain menjaga adab, ia juga merangkumi ketakwaan, ikhlas, rendah diri, sabar, dan qanaah (berpuas hati dengan nikmat Allah). Sifat-sifat ini juga termasuk mengamalkan akhlak mulia, menunaikan amanah, serta melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya dengan penuh kepatuhan.

MasyaAllah. Begitu baik dan terperinci Allah mengajarkan kita tentang sifat-sifat yang DIA redha.

Jika Allah redha, semua apap pum dalam dunia dah tak penting. 
#Penafian:❤:
Gambar, artikel ataupun video yang ada di dalam blog ini ada sesetengahnya yang diambil dari pelbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika timbul masalah mengenai perkara ini, anda boleh menghubungi saya di Contact Me. Artikel dan catatan adalah ulasan serta pendapat peribadi saya berdasarkan persekitaran, pengalaman dan pengetahuan. Kesilapan (jika ada) adalah khilaf saya dan mohon dimaafkan.

Saturday, April 11, 2026

Berdoa Dengan Al Asmaul Husna - Ya Allah

By On April 11, 2026
Berdoa Dengan Al Asmaul Husna - Al Asmaul Husnaa adalah nama-nama Allah yang berjumlah 99 semuanya. Apabila kita menyebut nama-nama tersebut, ia mempunyai pengaruh dan manfaat yang amat besar dan hebat sekali bagi pekerjaan yang sedang kita kerjakan. Itulah sebabnya kita digalakkan berdoa dengan al asmaul husnaa ini.

Ya Allah, adalah asmaul husna yang pertama dari seluruh 99 nama ALLAH yang baik-baik. Mari kita mulakan dengan Ya Allah, iaitu cara berdoa dengan menggunakan zikir Ya Allah.

Berdoa Dengan Al Asmaul Husnaa - Ya Allah

Cara-Cara berdoa dengan al asmaul husna | Allah


1) Baca kalimah di bawah ini terlebih dahulu:


Berdoa Dengan Al Asmaul Husnaa - Ya Allah

2) Kemudian baru di baca asmaul husnaa yang berikut:


"Ya Allah..." - dibaca 500 kali setiap malam


Nama ini adalah ismudz zat yang menpunyai erti dari seluruh pengertian yang terkandung dalam seluruh nama-nama Allah. Iaitu Tuhan yang tiada wajib disembah melainkan Dia. Dialah yang menciptakan langit dan bumi dan segala benda yang ada di dalamnya. Dialah yang wajib dipuji yang benar-benar berkuasa di atas segalanya.

Lafaz 'Allah' apabila dibaca dengan mengucapkan Ya Allah sebanyak 500 kali setiap malam, lebih-lebih lagi pada waktu malam telah larut setelah mengerjakan solat sunat dua rakaat (solat hajat atau solat tahajjud), maka akan berpengaruh besar untuk mendorong kejayaan dalam semua yang dihajatkan. Maknanya, beroleh kejayaan dalam segala bidang yang dilakukan.

3) Kemudian setelah selesai membaca asmaul husnaa di atas, lalu teruskan membaca kalimah seperti di bawah ini:


Berdoa Dengan Al Asmaul Husnaa - Ya Allah


4) Akhir sekali berdoalah untuk perkara yang dihajati dengan penuh keyakinan, khusyuk dan tawadduk hanya kepada Allah. Allah Maha Mendengar doa hamba-hambaNya.


Rujukan:

1. Himpunan ayat-ayat al-Quran dan Khasiat Bismillah, Surah al-Fatihah, ayatul Kursi, Surah al-Ikhlas dan Surah al-Qadr & Asmaul Husnaa - Muhfudli Sahli

#Penafian:❤:
Gambar, artikel ataupun video yang ada di dalam blog ini ada sesetengahnya yang diambil dari pelbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika timbul masalah mengenai perkara ini, anda boleh menghubungi saya di Contact Me. Artikel dan catatan adalah ulasan serta pendapat peribadi saya berdasarkan persekitaran, pengalaman dan pengetahuan. Kesilapan (jika ada) adalah khilaf saya dan mohon dimaafkan.

Thursday, April 9, 2026

Kisah Nabi Ilyas Dan Malaikat Yang Datang Mahu Menjemput Rohnya

By On April 09, 2026
Kisah Nabi Ilyas Dan Malaikat Datang Menjemput Rohnya - Mungkin ada yang tidak tahu bahawa terdapat empat orang Nabi yang masih hidup iaitu Nabi Khidr, Nabi Ilyas, Nabi Isa dan Nabi Idris a.s. Nabi Ilyas dan Nabi Khidr ada dibumi dan ditempatkan di bahagian langit yang khusus dimana hanya Allah s.w.t yang Maha Tahu tempat tersebut.

Kisah Nabi Ilyas Dan Malaikat Yang Datang Mahu Menjemput Rohnya

Kisah Nabi Ilyas masih hidup kerana dia sedih untuk meninggalkan dunia bukan kerana keasyikannya tetapi kerana takut tidak dapat lagi berzikir kepada Allah. Lalu Allah membiarkan dia hidup untuk terus berzikir kepadaNya. Subhanallah.

Tetapi kita sebaliknya, sayang tinggalkan dunia kerana bimbangkan harta dan kemewahan yang bakal ditinggalkan.  

Kisah Nabi Ilyas Dan Malaikat Datang Menjemput Rohnya


Ketika sedang berehat datanglah malaikat kepada Nabi Ilyas a.s. Malaikat itu datang untuk menjemput rohnya. Mendengar berita itu, Ilyas menjadi sedih dan menangis. 

"Mengapa engkau bersedih?" tanya malaikat maut. 

"Tidak tahulah." Jawab Ilyas. 

"Apakah engkau bersedih kerana akan meninggalkan dunia dan takut menghadapi maut?" tanya malaikat. 

"Tidak. Tiada sesuatu yang aku sesali kecuali kerana aku menyesal tidak boleh lagi berzikir kepada Allah, sementara yang masih hidup boleh terus berzikir memuji Allah." jawab Ilyas.

Saat itu Allah s.w.t. lantas menurunkan wahyu kepada malaikat agar menunda pencabutan nyawa itu dan memberi kesempatan kepada Nabi Ilyas berzikir sesuai dengan permintaannya. Nabi Ilyas ingin terus hidup semata-mata kerana ingin berzikir kepada Allah s.w.t. Maka berzikirlah Nabi Ilyas sepanjang hidupnya.

"Biarlah dia hidup di taman untuk berbisik dan mengadu serta berzikir kepada-Ku sampai akhir nanti." Kata Allah s.w.t. 

Begitulah kisahnya. Kisah Nabi Ilyas dan malaikat yang datang mahu menjemput rohnya. Alangkah bahagia jika kita menjadi insan terpilih seperti itu. Ikhlas mengabadikan diri kepada Allah s.w.t. Dan, semoga kita sentiasa istiqamah diberikan cahaya iman dihati untuk terus berada di landasan jalan yang lurus. Insyaa Allah.

Sebarkan bahagia dan kongsikan kisah motivasi di atas untuk kebahagiaan hidup orang di sekeliling kita.
#Penafian:❤:
Gambar, artikel ataupun video yang ada di dalam blog ini ada sesetengahnya yang diambil dari pelbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika timbul masalah mengenai perkara ini, anda boleh menghubungi saya di Contact Me. Artikel dan catatan adalah ulasan serta pendapat peribadi saya berdasarkan persekitaran, pengalaman dan pengetahuan. Kesilapan (jika ada) adalah khilaf saya dan mohon dimaafkan.

Wednesday, April 8, 2026

Berdoa Dengan Asmaul Husna Al Jabbar

By On April 08, 2026
Berdoa Dengan Asmaul Husna Al Jabbar - Al Jabbar adalah antara Al Asmaul Husnaa (nama-nama Allah) yang berjumlah 99 semuanya. Apabila kita menyebut atau berdoa dengan asmaul husnaa, ia mempunyai pengaruh dan manfaat yang amat besar dan hebat sekali bagi pekerjaan yang sedang kita lakukan. Itulah sebabnya kita digalakkan berdoa dengan al asmaul husnaa ini. Al Jabbar ertinya Yang Maha Memaksakan Kehendak-Nya, Dia yang maha berkehendak dan maha kuat memaksakan kehendaknya kepada siapapun.

Berdoalah dengan ikhlas dan merendah diri serta mengikut sunnah yang diajarkan. Insyaa Allah doa-doa kita dimakbulkan.

Cara-Cara berdoa dengan al asmaul husna | Al Jabbar 


1) Baca ayat kalimah di bawah ini terlebih dahulu:

Berdoa Dengan Asmaul Husna | Al Jabbar


2) Kemudian baru di baca asmaul husnaa yang berikut:

Berdoa Dengan Asmaul Husna | Al Jabbar

Ya Jabbar = Minima 300 Kali Sehari

Ertinya : Yang Maha Memaksakan Kehendak-Nya, Dia yang maha berkehendak dan maha kuat memaksakan kehendaknya kepada siapapun. Tidak ada satu kekuatan pun yang dapat menentang dan mencegah kehendak-Nya. Segala sesuatu dialam semesta ini tunduk pada kehendak dan aturan-Nya. Bintang, bulan, matahari, bumi dan segala mahluk yang hidup didarat, laut maupun udara, semua tunduk pada aturan dan hukum yang telah ditetapkan Allah dengan kehendak-Nya.

Mengamalkan wirid “Yaa Jabbar” setiap hari minima 300 kali setiap hari,  seseorang akan terpelihara dari ancaman orang yang bermaksud jahat, seperti orang yang dengki, dendam, benci, atau penjahat yang berniat merompak atau menganiaya diri anda.

Lagi, dengan mewiridkan ” yaa Jabbar” minima 100 kali setiap selesai solat anda akan terpelihara dari perbuatan orang zalim sebagaimana sering kita baca dan lihat pada media cetak mahupun elektronik.

3) Kemudian setelah selesai membaca asmaul husnaa di atas, lalu teruskan membaca kalimah seperti di bawah ini:

Berdoa Dengan Asmaul Husna | Al Jabbar

4) Akhir sekali berdoalah untuk perkara yang dihajati dengan penuh keyakinan, khusyuk dan tawadduk hanya kepada Allah. Allah Maha Mendengar doa hamba-hambaNya.

Berserahlah kepadaNya, bersabar menunggu doa-doa kita dimakbulkan. Pada masa yang tepat. Jangan pernah jemu memohon kepada Allah. Orang yang banyak berdoa adalah orang yang paling bijak. Fikirkanlah...

Rujukan:

1. Himpunan ayat-ayat al-Quran dan Khasiat Bismillah, Surah al-Fatihah, ayatul Kursi, Surah al-Ikhlas dan Surah al-Qadr & Asmaul Husnaa - Muhfudli Sahli

2. Sumber
#Penafian:❤:
Gambar, artikel ataupun video yang ada di dalam blog ini ada sesetengahnya yang diambil dari pelbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika timbul masalah mengenai perkara ini, anda boleh menghubungi saya di Contact Me. Artikel dan catatan adalah ulasan serta pendapat peribadi saya berdasarkan persekitaran, pengalaman dan pengetahuan. Kesilapan (jika ada) adalah khilaf saya dan mohon dimaafkan.

Sunday, April 5, 2026

Kematian Datangnya Tepat, Tidak Terlewat Atau Tercepat

By On April 05, 2026
Kematian Datangnya Tepat, Tidak Terlewat Atau Tercepat. Kematian adalah waktu di mana tamatnya tanggungjawab seorang manusia dengan dunia. Namun, kehidupan dia dengan alam barzakh baru bermula. Kehidupan sebenarnya adalah sewaktu roh di cabut dari tubuh. Segala bekalan yang di bawa dari dunia akan di pertanyakan di alam sana. Maka, perbanyakkan amalan baik agar ia boleh "menjaga" kita bila saat diperlukan nanti. Allahuakbar!  

Bila difikirkan kembali, kita hidup untuk apa? Maka jawablah, hidup di dunia adalah ladang untuk akhirat. Buatlah apa saja, carilah kekayaan seluas lautan, namun simpan satu tujuan bahawa apa yang kita dapat hari ini di dunia boleh di bawa untuk bersenang-senang di akhirat. Jadi, tujuan hidup kita kena jelas dari awal lagi. Nak buat sesuatu, kena tanya soalan macam ini - "boleh untungkan akhirat aku tak??'

Kematian Datangnya Tepat, Tidak Terlewat Atau Tercepat

Kematian Datangnya Tepat, Tidak Terlewat Atau Tercepat


Firman Allah seperti ayat di bawah,

"Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan." - ( *QS. Al-Munafiqun 63:* Ayat 11).

Apa maksud firman Allah tersebut?

Maksudnya, setiap kematian yang Allah takdirkan terhadap hambaNya, berlaku pada waktu yang telah ditetapkan dari luh mahfuz lagi. 

Hakikat Kematian yang Perlu Difahami:

  • Pasti dan Tepat Waktu: Kematian tidak pernah tersilap hitungan, terjadi sesuai dengan ketetapan Allah SWT.
  • Tiada Penangguhan: Apabila ajal tiba, ia tidak boleh ditunda atau diawalkan.
  • Datang Secara Mengejut: Kematian boleh berlaku di mana-mana—di rumah, pejabat, atau ketika tidur.
  • Persiapan Amal: Kematian tidak menunggu kita menjadi baik, oleh itu manusia dituntut untuk sentiasa bersedia dengan amal soleh sepanjang masa.
  • Tanda-tanda Ajal: Terdapat perubahan fizikal dan psikologi, seperti lebih banyak tidur, kurang selera makan, dan kelemahan otot, yang sering muncul dalam tempoh 40-90 hari sebelum ajal.

Semoga penjelasan di atas memberikan gambaran yang jelas kepada setiap pembaca, di mana kematian itu datangnya tepat - tak tercepat atau terlewat sedikit pun. 
#Penafian:❤:
Gambar, artikel ataupun video yang ada di dalam blog ini ada sesetengahnya yang diambil dari pelbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika timbul masalah mengenai perkara ini, anda boleh menghubungi saya di Contact Me. Artikel dan catatan adalah ulasan serta pendapat peribadi saya berdasarkan persekitaran, pengalaman dan pengetahuan. Kesilapan (jika ada) adalah khilaf saya dan mohon dimaafkan.

Random

About Us


Ilman Hati - (sejak 2018) - Perkongsian himpunan tazkirah. Email:aynora.nur@gmail.com

DMCA.com Protection Status