Enter your keyword

Friday, January 27, 2023

26 Sifat Sombong Yang Mungkin Kita Amalkan Tanpa Sedar

By On January 27, 2023
26 Sifat Sombong Yang Mungkin Kita Amalkan Tanpa Kita Sedari. Sifat sombong ni tak baik tau, Allh tak suka. Orang pun tak suka. Orang kata, orang yang bersifat sombong ni lebih banyak rugi dari untungnya. Kawan-kawan hilang, adik-beradik menjauh, kerja pun tak selesa. Orang yang sombong pula akan selalu stress. Renungkanlah!!

26 Sifat Sombong Yang Mungkin Kita Amalkan Tanpa Sedar


Rasulullah bersabda:


لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.”

Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?”

Beliau menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.“ (HR. Muslim no. 91)

26 Senarai Sifat Sombong Yang Boleh Direnungkan


1. Orang sombong payah menerima pandangan orang lain sekalipun hatinya merasakan pandangan orang lain itu lebih baik daripadanya.

2. Orang sombong mudah marah bila berlaku perbincangan dua hala. Cepat naik darah kalau ada kesilapan.

3. Orang sombong memilih kawan dan suka berkawan dengan orang yang sama taraf dengannya saja.

4. Bahkan dengan orang yang sama taraf dengannya pun masih dipilih-pilih lagi, yakni dia suka orang yang mahu mendengar kata-katanya sahaja.

5. Orang sombong memandang hina kepada orang bawahan.

6. Orang sombong ketika dalam perbincangan, suka meninggikan suara atau menguatkan suara lebih daripada yang diperlukan.

7. Orang sombong ketika dalam perbincangan, dia suka kata-katanya didengari, diambil perhatian dan dituruti. Sebaliknya, dia sendiri sukar hendak mendengar pendapat orang lain.

8. Orang sombong di dalam pergaulannya, dia sahaja yang bercakap. Kalau ada orang lain bercakap, dia suka memotong percakapan orang lain.

9. Orang sombong kalau menjadi pemimpin, dia memimpin dengan kasar dan keras terhadap pengikut dan orang bawahannya.

10. Orang sombong sukar memberikan kemaafan kepada orang lain yang tersilap dengannya.

11. Orang sombong kalau dia bersalah sukar hendak meminta maaf.

12. Orang sombong suka dihormati.

13. Orang sombong suka menzalimi samada secara halus ataupun kasar.

14. Orang sombong kurang mesra dengan orang lain kecuali terpaksa kerana memerlukan orang itu.

15. Orang sombong suka memperkatakan keburukan orang dengan mengumpat, memfitnah serta membenci orang lain.

16. Orang sombong kurang menghormati pemberian orang lain.

17. Orang sombong suka menceritakan kelebihan diri sendiri.

18. Orang sombong suka menghina dan menjatuhkan air muka seseorang di hadapan orang lain.

19. Orang sombong kurang mensyukuri nikmat Allah SWT. Kalau ada pun, dibazirkan.

20. Orang sombong kalau berdiri lebih suka bercekak pinggang. Kalau bercakap menepuk-nepuk meja.

21. Orang sombong kurang memberi simpati kepada orang lain kecuali dengan tujuan sebaliknya.

22. Orang sombong tidak suka menerima tetamu atau tidak suka menjadi tetamu orang lain.

23. Orang sombong tidak suka menyebut kelebihan orang lain kerana takut mencabar dirinya.

24. Orang sombong suka membesar-besarkan kesalahan orang lain sedangkan kesalahan diri sendiri didiamkan.

25. Orang sombong tidak senang dengan kejayaan orang lain.

26. Orang sombong sangat tersinggung jika disebut kelebihan orang lain di depannya tetapi jika dipuji, dia sangat gembira.

Semoga bermanfaat. 

Hidup dengan berpijak di bumi nyata, terima kelebihan orang lain dengan bersyukur dan melihat kelemahan diri sendiri sebagai satu hikmah untuk belajar dan menambah ilmu.


  #Penafian:❤:

Gambar, artikel ataupun video yang ada di dalam blog ini ada sesetengahnya yang diambil dari pelbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika timbul masalah mengenai perkara ini, anda boleh menghubungi saya di Contact Me. Artikel dan catatan adalah ulasan serta pendapat peribadi saya berdasarkan persekitaran, pengalaman dan pengetahuan. Kesilapan (jika ada) adalah khilaf saya dan mohon dimaafkan.

Tuesday, January 17, 2023

Cara Halau Syaitan Di Rongga Hidung Ketika Bangun Tidur

By On January 17, 2023
Cara Halau Syaitan Di Rongga Hidung Ketika Bangun Tidur. Ketika tidur kita dimatikan sementara,😗 seluruh anggota tubuh badan kita berhenti berfungsi melainkan pernafasan. Banyak benda berlaku di sekeliling kita dalam keadaan kita tak sedar termasuklah kerja-kerja syaitan yang tak berhenti menyesatkan manusia. Tu yang kadangkala mimpi yang bukan-bukan. Syaitan juga berkeliaran di rongga hidung ketika kita sedang tidur. Macam mana nak menghalaunya sebaik bangun tidur? Baca caranya di bawah.. 

Cara Halau Syaitan Di Rongga Hidung Ketika Bangun Tidur


 عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال إِذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ مَنَامِهِ فَتَوَضَّأَ فَلْيَسْتَنْثِرْ ثَلاَثًا فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَبِيتُ عَلَى خَيْشُومِهِ 


Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda, “Jika salah seorang di antara kalian bangun dari tidurnya, maka hendaklah berwuduk lalu beristintsar (mengeluarkan air dari hidung) sebanyak tiga kali kerana syaitan bermalam di rongga hidungnya.” (HR. Bukhari No: 3295) Status: Hadis Sahih 


 Pengajaran:

 1. Islam mengajar kita beradab dan berakhlak dalam setiap perkara. 

 2. Antara adab seorang Muslim selepas bangun daripada tidur adalah mengambl wuduk. 

 3. Beristintsar (mengeluarkan air dari dalam rongga hidung selepas menghirupnya) ketika berwuduk adalah sunat dilakukan. 

 4. Antara hikmah memasukkan air kedalam rongga hidung dan mengeluarkan kembali sebanyak tiga kali selain daripada membersihkan kotoran daripada hidung juga bertujuan untuk menghalau syaitan yang menumpang bermalam di lubang hidung. 

Pastikan amalan memasukkan dan mengeluarkan air ke dalam rongga hidung kita lakukan sebaik sahaja bangun dari tidur melalui amalan berwuduk. 

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada kita semua. 

Saturday, January 7, 2023

Jadilah Orang Yang Paling Bermanfaat

By On January 07, 2023
Jadilah Orang Yang Paling Bermanfaat. Paling memberikan bahagia kepada orang lain samada dari segi fizikal dan mental. Adakala sekecil-kecil pemberian dan ingatan sudah cukup menenangkan. Orang lain happy kita pun dapat pahala. Nak melawat orang tua belikan makanan atau buah kesukaan mereka.. pun dah buat mereka tersenyum-senyum dan menyebut nama kita. Inikan pula kamu membawanya ke tempat-tempat istimewa seperti Mekah dan Madinah. Namun nak jadi orang yang bermanfaat tak perlu modal mahal dan besar. Yang penting ikhlas berdasarkan kemampuan.

Jadilah Orang Yang Paling Bermanfaat


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ عَلَى أُنَاسٍ جُلُوسٍ فَقَالَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ قَالَ فَسَكَتُوا فَقَالَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَقَالَ رَجُلٌ بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا قَالَ خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ وَشَرُّكُمْ مَنْ لَا يُرْجَى خَيْرُهُ وَلَا يُؤْمَنُ شَرُّهُ


Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW berdiri di hadapan orang orang yang sedang duduk lalu baginda bersabda: "Mahukah kalian aku beritahu orang yang paling baik di antara kalian dari orang yang paling buruk di antara kalian?" Abu Hurairah berkata: Para sahabat diam, baginda mengatakan demikian sampai tiga kali, kemudian salah seorang berkata: Wahai Rasulullah, beritahukan kepada kami orang yang paling baik di antara kami dari orang yang paling buruk, baginda bersabda: "Orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang diharapkan kebaikannya dan aman dari kejahatannya, dan orang yang paling buruk di antara kalian adalah orang yang tidak diharapkan kebaikannya dan tidak aman dari kejahatannya." (HR Tirmizi No: 2189) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Di kalangan kita ada orang yang paling baik dan ada orang yang paling buruk

2.  Orang yang paling baik dalam kalangan kita adalah orang yang sentiasa melakukan kebaikan dan tidak melakukan kejahatan serta orang lain mendapat manfaat dari kebaikannya.

3.  Orang yang paling buruk pula adalah orang yang tidak melakukan kebaikan dan tidak dapat memberi manafaat kepada orang lain serta melakukan kejahatan dan orang lain mendapat mudarat daripada kejahatannya.

4.  Berusahalah menjadi orang yang melakukan kebaikan dan kebaikannya dirasai bermanfaat kepada orang lain. Jika kita pemimpin, jadilah orang yang dirasai manfaatnya oleh orang lain. Jangan sekali-kali menjadi orang atau pemimpin yang buruk malah apa yang dilakukan memudaratkan orang lain juga negara.

Marilah jadi orang yang paling bermanfaat kepada orang lain dan tidak mendatangkan mudarat. 

Monday, January 2, 2023

Doa Mohon Dikurniakan Hidayah

By On January 02, 2023
Sesungguhnya hidayah itu milik Allah dan terpulang kepada siapa hendak di kurniakan hidayah tersebut. Sebab itu kita kena selalu mintak dan berdoa agar Allah mengurniakan hidayah dan taufiknya kepada kita. Letakkan doa kita itu dalam senarai doa-doa yang dipohonkan kepada Allah dalam setiap kesempatan yang ada. Jika tak meminta macam mana Allah nak bagi. Tahukah anda orang yang sombong adalah orang yang tak mahu berdoa kepada Allah.

Doa Mohon Dikurniakan Hidayah


Doa Diberikan Hidayah


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى

Daripada Abdullah (Abdullah bin Mas’ud) daripada Nabi SAW bahawasanya baginda SAW pernah berdoa: "Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, al-iffah (terhindar daripada perbuatan yang tidak baik) dan kecukupan (tidak meminta-minta)." (HR Muslim  No: 2721) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW mengajar kita berdoa agar dikurniakan petunjuk, memiliki sifat taqwa, dikurniakan sifat ‘afaf (terhindar daripada perbuatan yang tidak baik) dan ghina (tidak meminta-minta).

2.  Hidayah ialah petunjuk dan bimbingan daripada Allah SWT. Tiada seorang pun yang mendapat hidayah melainkan hanya Allah sahaja yang memberikannya.

3.  Setiap orang perlu meminta hidayah kepada Allah, agar dibimbing untuk mengukuhkan keimanannya, meningkatkan amal solehnya dan tutur bicaranya serta akhlak yang baik dalam menghadapi pelbagai masalah dunia dan akhirat.

4.  Jika seseorang yang menginginkan agar dirinya diberi hidayah untuk menjadi seorang Muslim yang baik, bertaqwa, dapat menjalani kehidupan ini dengan baik, selamat, hati yang damai dan terhindar daripada perbuatan yang buruk, maka mintalah hanya kepada Allah SWT, bukan kepada yang lain.

5.  Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim: mengatakan, “”Afaf bermakna menjauhkan dan menahan diri dari perkara yang tidak diperbolehkan. Sedangkan al-ghina adalah hati yang selalu merasa cukup dan tidak perlu kepada apa yang ada di sisi manusia.”

6.  Marilah sempena kehadiran tahun baru 2023 ini, kita perbanyakkan berdoa dengan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى

Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, al-iffah (terhindar daripada perbuatan yang tidak baik) dan al-ghina (kecukupan serta tidak meminta-minta)

Rasulullah mengajar kita agar meminta empat perkara dalam doa ini:

a.  Al-huda iaitu petunjuk dalam ilmu dan amal. 

b.  Al-taqwa iaitu sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan.

c.  Al-afaf iaitu dijauhkan dari perkara yang diharamkan seperti zina dan yang seumpamanya.

d.  Al-ghina iaitu dicukupkan oleh Allah dari apa yang ada di sisi manusia dengan sifat qonaah, selalu merasa cukup ketika Allah memberinya harta sedikit atau pun banyak.

Moga Allah menganugerahkan kita dengan petunjuk yang akan memandu kita menjadi orang yang bertakwa serta memiliki sifat yang menjauhkan kita dari yang haram dan sentiasa merasa cukup dengan rezeki yang ada. 

Random

About Us


Ilman Hati - (sejak 2018) - Perkongsian himpunan tazkirah. Email:aynora.nur@gmail.com

DMCA.com Protection Status