Enter your keyword

Friday, April 16, 2021

Cara Solat Terawih 8 Rakaat Dengan Solat Witir

By On April 16, 2021

 Cara Solat Tarawih | Tarawih menurut asal maksudnya adalah duduk untuk istirehat setelah mengerjakan sembahyang empat rakaat. Setiap empat rakaat dinamakan tarawih adalah sebagai majaz, kerana adabnya istirehat sesudahnya. Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirahat.



Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya'. Biasanya jemaah duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan empat rakaat lagi, sehingga cukup 8 ataupun dua puluh rakaat.

Tarawih itu disebut juga dengan Qiyamu Ramadan. Dilakukan sembahyang terawih ini dalam bulan Ramadhan sahaja iaitu selama satu bulan sepanjang bulan Ramadhan. Sembahyang Tarawih dikerjakan setelah mengerjakan sembahyang Isyak dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam iaitu sebelum subuh. Sepeti diperkatakan di atas tadi, dalam melaksanakannya, disunatkan duduk sebentar selepas salam sambil memperbanyak zikir pada setiap rakaat keempat dan dikerjakan dalam keadaan tenang, tenteram dan tidak tergesa-gesa menyelesaikannya.

cara solat tarawih ringkas 8 rakaat

Hukum bersolat Tarawih adalah sunat muakkad yang boleh dilakukan secara berjemaah atau sendirian sama ada di rumah atau masjid pada malam-malam bulan Ramadan, di antara waktu selepas solat Isyak hingga ke sebelum fajar.

Solat Tarawih boleh dilaksanakan dengan setiap dua rakaat satu salam, sekurang-kurang 4 kali dan disambungkan dengan solat Witir tiga rakaat atau boleh juga dilakukan 2 kali empat rakaat berdasarkan hadis daripada Aisyah yang berkata: “Rasulullah SAW tidak pernah mendirikan solat malam melebihi 11 rakaat, baik pada Ramadhan mahupun bulan lainnya, beliau mendirikan empat rakaat yang sangat panjang, kemudian empat rakaat lagi yang panjang, selepas itu solat tiga rakaat.” (Riwayat Bukhari).  



Cara Solat Terawih 


1) Waktu sembahyang Tarawih ini ialah selepas menunaikan sembahyang Fardhu [Isyak] sehinggalah ke larut malam. Sembahyang Terawih ditunaikan dengan kumpulan dua rakaat, pada tiap-tiap satu kali takbiratul-ihram kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki. Rukun sembahyang sunat Tarawih ini sama sahaja dengan rukun sembahyang yang lain.

2) Solat sunat tarawih boleh dibuat sehingga sebelum solat Subuh. Biasanya di Malaysia, solat Tarawih dimulakan selepas jemaah selesai menunaikan solat sunat dua rakaat selepas solat Isyak. Sembahyang Tarawih dilakukan dengan Imam menyaringkan bacaan seperti mana bacaan semasa solat [Subuh].

3) Lafaz Niat Sembahyang Tarawih: 

Niat solat tarawih sendirian

Maksudnya: Sahaja aku sembahyang Tarawih dua rakaat kerana Allah Taala., (jika berjamaah) tambah makmuman sebelum perkataan '...lillahi taala'

Walaupun demikian, ada beberapa cara dalam mengerjakan solat Tarawih, salah satunya dengan formasi 2 kali 4 rakaat masing masing dengan sekali salam setiap selesai 4 rakaat. Oleh kerana itu, dalam niat solat Tarawih, niatnya disesuaikan menjadi "arbaa raka'ataini". 

4) i) Pada zaman Rasulullah S.A.W., sembahyang Tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat saja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan. Rasulullah S.A.W. juga tidak memberatkan solat ini ditunaikan di masjid kerana tidak mahukan sahabat berfikiran solat ini solat yang wajib. Pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab pula beliau menambah lagi menjadikan 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan sembahyang sebanyak itu.

    ii) Sembahyang ini juga dibuatkan sebanyak 20 rakaat dan ditambah 3 rakaat sembahyang witir. Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan sembahyang Tarawih sebanyak 20 rakaat dengan ditambah dengan 3 rakaat sembahyang witir.

5) Untuk cara solat terawih 8 rakaat, sila rujuk cara di bawah ini.

Cara Solat Tarawih Ringkas 8 Rakaat


A. Biasanya Solat Sunat Tarawih dilakukan sebanyak lapan rakaat yang dipisahkan kepada 2 rakaat demi 2 rakaat (4 kali 2 rakaat) dengan setiap dua rakaat satu salam.

B. Solat Sunat Tarawih ini juga boleh dikerjakan empat rakaat – empat rakaat (2 kali 4 rakaat), iaitu sebagaimana tatacara solat fardhu yang empat rakaat iaitu dengan dua tahiyat.

C. Boleh juga dikerjakan sebanyak empat rakaat sekaligus dengan hanya satu tahiyat dan sekali salam sahaja. Sekiranya ingin dilaksanakan dengan hanya satu tahiyat maka setiap rakaat hendaklah dibaca surah-surah atau ayat-ayat dari al-Qur’an.

#Setiap cara Solat Sunat Tarawih di atas, hendaklah di akhiri dengan tambahan 3 rakaat Solat Sunat Witir, boleh sama ada dilakukan dengan dua salam atau satu salam Witir sahaja.

1. Memulakan sembahyang Tarawih dua rakaat (rakaat pertama dan kedua). Bacaan surah selepas al-Fatihah.

  • Rakaat pertama Surah al-Takathur
  • Rakaat kedua Surah al Asr
Selepas salam, membaca doa tertentu dan sambung 2 rakaat lagi.


2. Menyambung sembahyang Tarawih dua rakaat lagi (rakaat ketiga dan keempat). Bacaan surah selepas al-Fatihah

  • Rakaat pertama Surah al-Humazah
  • Rakaat kedua Surah al-Fil
Selepas salam, membaca doa tertentu dan sambung 2 rakaat lagi.


3. Menyambung sembahyang Tarawih dua rakaat lagi (rakaat kelima dan keenam). Bacaan surah selepas al-Fatihah.

  • Rakaat pertama Surah Quraisy
  • Rakaat kedua Surah al-Ma’un
Selepas salam, membaca doa tertentu dan sambung 2 rakaat lagi.


4. Menyambung sembahyang Tarawih dua rakaat lagi (rakaat ketujuh dan kelapan) Bacaan surah selepas al-Fatihah.

  • Rakaat pertama Surah al-Kafi run
  • Rakaat kedua Surah al-Nasr
Selepas salam, membaca doa tertentu. Seterusnya buat SOLAT WITIR 3 RAKAAT.


SETELAH KITA SELESAI MENGERJAKAN SEMBAHYANG TARAWIH SEBANYAK LAPAN RAKAAT DIIKUTI PULA DENGAN SEMBAHYANG WITIR SEBANYAK TIGA RAKAAT

i. Sembahyang Witir ini ditunaikan dengan satu takbiratul ihram dan satu salam sahaja.




Lafaz niatnya: Sahaja aku sembahyang sunat Witir tiga rakaat makmum kerana Allah Taala.

ii. Bagi sembahyang Witir seperti ini tidak ada bacaan tasyahud (tahiyat) awal. ~ Maksudnya, buat terus 3 rakaat sampai habis. Barulah tahiyat akhir dan beri salam.

Bacaan surah selepas al-Fatihah.

  • Rakaat pertama Surah al-‘Ala
  • Rakaat kedua Surah al-Kafi run
  • Rakaat ketiga Surah al-Ikhlas

iii. Mulai malam ke-16 Ramadhan kita disunatkan membaca qunut. Lafaz qunut samalah seperti sembahyang Subuh. Jika tidak membaca qunut disunatkan sujud sahwi.

iv. Berzikir atau bertahlil Seperti biasa selepas sembahyang Witir diadakan tahlil. Terdapat pelbagai cara mengelolakan tahlil ini.

Demikianlah cara-cara yang ditunjukkan bagi memudahkan kita menunaikan sembahyang sunat Tarawih dan sunat Witir untuk mencari keberkatan, kurniaan dan keampunan Allah SWT pada malam-malam bulan Ramadhan yang mulia ini dan terpulanglah kepada masing-masing individu memilih dan mengikuti cara yang sesuai mengikut kemampuan dan keikhlasan diri sendiri.

Penentuan sesuatu surah seperti yang disebutkan itu hanyalah untuk memudahkan kita mengingati bilangan rakaat sahaja dan kerana itu seseorang boleh membaca mana-mana surah atau ayat yang diingatnya. Begitu juga tentang peraturan berselawat antara rakaat-rakaat sembahyang Tarawih kerana tujuannya adalah untuk menambahkan lagi ibadat pada bulan yang mulia ini.

6) Untuk solat terawih 20 rakaat, boleh rujuk pada slideshare di bawah ini. 



Selamat beribadat! Selamat melaksanakan ibadat puasa dengan ikhlas, tawakkal dan seiring menjaga akhlak. Semoga puasa kita diterima oleh Allah SWT.

Thursday, April 8, 2021

Cara Berpuasa Dengan Sempurna

By On April 08, 2021

Apakah Maksud Puasa? Jika ikut kefahaman kita secara umum dan sering kita jawab pada anak-anak yang masih kecil, puasa maknanya menahan diri dari lapar dan dahaga. Tak boleh makan ataupun minum. 

Tetapi, puasa luas maksudnya. Takrifan puasa ini saya ambil dari blog ini. Puasa dalam bahasa Arab disebut “shoum” atau “shiyam” . Kata al Raghib: “Shoum” pada asalnya bermakna menahan diri dari perbuatan samada makan, bercakap atau berjalan. Justeru dikatakan kepada kuda yang enggan berjalan atau makan “sho’im” (yang berpuasa). “Shoum” juga digunakan untuk diam atau enggan bercakap.

Manakala, puasa menurut istilah syara’ membawa maksud khusus iaitu: “menahan diri dari perkara khusus ( syahwat kemaluan iaitu bersetubuh dan perut iaitu makan dan minum, dan semua yang membatalkan puasa ) yang dilakukan oleh seorang yang dikhususkan ( muslim atau muslimah yang bersih dari haid dan nifas ) pada masa yang khusus ( bermula keluarnya fajar hingga terbenamnya matahari ) dengan sifat yang khusus ( dengan niat ibadat untuk mendapat perkenan Allah swt ).


Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniyah puasa itu, agar kita dapat menunaikan ibadah puasa dengan sempurna.


Cara Berpuasa Dengan Sempurna

Panduan Berpuasa Dengan Sempurna 


Nak tahu cara berpuasa dengan sempurna? Kita takk boleh uasa main-main dah. Terutama bagi orang yang dah akhil baligh. Puasa kena buat betul-betul kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT.


1) Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah s.w.t.

2) Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria'.

3) Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah s.w.t. telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud:"Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram." (Surah Al-Maidah:42)

4) Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.

5) Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

Perkongsian di atas adalah sebagai peringatan kepada kita semua. Semoga kita boleh menyampaikannya kepada anak-anak kita secara tepat dan dapat mengerjakan ibadah puasa dengan sempurna.

Bertawakkal Umpama Burung, Yakin Tanpa Ragu Kepada Allah

By On April 08, 2021

Bertawakkal Umpama Burung, Yakin Tanpa Ragu Kepada Allah. Bertawakal Umpama Burung. Tak risau keluar berpagian, petang pasti pulang dengan kekenyangan. Sedangkan sewaktu keluar mencari makanan, mereka tak tahu ada atau tidak rezeki untuk mereka pada hari itu. Oleh kerana tawakkal nya mereka kepada Allah, berserah setelah keluar awal pagi, pasti ada rezeki yang disimpankan buat mereka. Rezeki tak pernah salah alamat. 

Bertawakkal Umpama Burung, Yakin Tanpa Ragu Kepada Allah



Bertawakkal Umpama Burung, Yakin Tanpa Ragu Kepada Allah


Allah telah berjanji. Setiap orang telah disimpankan rezeki masing-masing sejak dari azali lagi. Bila kita yakin dengan janji Allah, nescaya kita akan dengan tenang dan yakin memburu, mencari rezeki dan tidak berputus asa. 


عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرُزِقْتُمْ كَمَا يُرْزَقُ الطَّيْرُ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا


Daripada Umar bin Al-Khaththab RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Jika sekiranya kamu bersungguh-sungguh bertawakal kepada Allah, nescaya Allah memberi rezeki kepada kamu seperti rezeki seekor burung yang keluar di waktu pagi dengan perut kosong dan pulang di waktu petang dengan perut terisi penuh kenyang." (HR Tirmidzi No: 2266) Status: Hadis Sahih


Pengajaran daripada hadis:


1.  Setiap Muslim diperintahkan agar bertawakal iaitu menyerahkan segala urusan kepada Allah dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu selepas usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh.


2.  Bertawakal dengan menyerahkan semata-mata kepada Allah tanpa usaha dan ikhtiar adalah menyalahi pengajaran daripada hadis ini.


3.  Jadilah seperti burung yang keluar pada waktu pagi dalam keadaan perutnya kosong namun berusaha mencari makanan dan akan pulang pada waktu petang dalam keadaan perut yang penuh dengan makanan.


4.  Muslim yang berusaha mencari rezeki dan bertawakal bersungguh-sungguh, nescaya dia tetap akan memperoleh rezeki seperti burung.


5.  Muslim tidak boleh menganggur dan berpeluk tubuh tanpa usaha dan ikhtiar. Contohilah burung yang keluar dari sarang mencari makanan kerana rezeki itu mengikut sebab dan musabab.


6.  Tawakal akan menimbulkan ketenangan jiwa dan ketenteraman dalam menghadapi sebarang perkara. Bertawakal dengan penuh yakin bahawa kejayaan dan kegagalan bukanlah hak mutlak manusia.


Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada semua dan mrnjadikan kita hambaNya yang yakin dengan setiap usaha yang dilakukan, di mana rezeki Allah ada pada setiap hambaNya.

Random

About Us


Ilman Hati - (sejak 2018) - Perkongsian himpunan tazkirah. Email:aynora.nur@gmail.com

DMCA.com Protection Status