Enter your keyword

Wednesday, August 5, 2026

La Ilaha Illa Allah - Akhiran Kalimah Yang Baik

By On August 05, 2026
La Ilaha Illa Allah - Akhiran Kalimah Yang Baik. Jika kita hidup dengan melakukan perkara yang baik dan menunaikan segala suruhan Allah SWT seperti yang disarankan di dalam al Quran dan hadis, insha Allah kita juga akan menikmati akhiran hidup yang baik. Antara kalimah yang menggambarkan pengakhiran yang baik adalah apabila seseorang hamba Allah itu dapat mengucap, La Ilaha Illa Allah.

La Ilaha Illa Allah - Akhiran Kalimah Yang Baik
 

Pengakhiran Kalimah Yang Baik

 
Daripada Mu'az bin Jabal RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ
 
"Sesiapa yang akhir ucapannya (sebelum meninggal dunia) ialah: ‘Lā ilāha illā Allāh’ (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah), maka dia akan masuk syurga." -  (HR Abu Daud No: 3116) Status Hadis Sahih

 

Pengajaran:


1. Kalimah "La ilaha illa Allah" (Tiada Tuhan melainkan Allah) adalah kunci utama syurga, ia merupakan asas akidah dan bukti keimanan seseorang.

2. Al-Qurtubi menyebutkan, maksud “akhir kalam” bukan semata-mata secara lisan fizikal, tetapi kalimah terakhir yang keluar dari kesedaran hati dan lidah serta diucapkan dengan iman yang benar, bukan secara kebetulan atau tanpa sedar.
 
3.    Menurut Imam Ibn Rajab, hanya orang yang hidupnya dibina atas tauhid dan amal soleh akan diberi taufik oleh Allah untuk menyebut kalimah ini di akhir hayat.
 
4. Pengakhiran dengan kalimah ini adalah tanda husnul khatimah (pengakhiran yang baik) dan petanda besar keampunan Allah.

5. Sunnah mentalqinkan (membisikkan) kepada orang yang nazak dengan kalimah tauhid, perlu dilakukan dengan penuh hikmah, kelembutan dan kasih sayang.

6. Orang yang biasa dengan zikrullah ketika hidup lebih mudah mengucapkannya ketika menghadapi sakaratul maut.

Info Yang Anda Cari:

7.    Hadis ini memberikan harapan besar kepada orang beriman: jika akhir kalimah kita ialah "La ilaha illa Allah", maka syurga adalah balasannya. Namun, juga menjadi peringatan bahawa pengakhiran itu tidak datang tanpa usaha. Bahkan memerlukan kehidupan yang dibina atas iman, amal, taubat dan pengharapan kepada rahmat Allah.

Semoga bermanfaat. Marilah sama-sama mengejar ganjaran mendapat akhiran hidup yang baik iaitu husnul khatimah.
#Penafian:❤:
Gambar, artikel ataupun video yang ada di dalam blog ini ada sesetengahnya yang diambil dari pelbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika timbul masalah mengenai perkara ini, anda boleh menghubungi saya di Contact Me. Artikel dan catatan adalah ulasan serta pendapat peribadi saya berdasarkan persekitaran, pengalaman dan pengetahuan. Kesilapan (jika ada) adalah khilaf saya dan mohon dimaafkan. - ILMAN HATI.

Tuesday, August 4, 2026

Hikmah Solat Jenazah Oleh Seratus Orang

By On August 04, 2026
Solat Jenazah. Hikmahnya Solat Jenazah Oleh Seratus Orang. Akhiran hidup seseorang kita tak tahu, siapakah yang akan mandi, kafan dan solatkan kita nanti. Kita hanya berharap ehsan dari Allah SWT agar menyimpankan aib kita dan memperoleh kematian yang husnul khatimah. Insha Allah. Adakah kita tahu berapa ramai orang yang akan solatkan kita? Mestilah tak tahu, kerana Allah Yang Maha Mengetahui. Maka, hiduplah baik-baik sehingga nafas kita terhenti. 

Hikmah Solat Jenazah Oleh Seratus Orang
 

Hikmah Solat Jenazah Oleh Seratus Orang

 
Daripada Aisyah binti Abu Bakar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ عَائِشَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏: مَا مِنْ مَيِّتٍ يُصَلِّي عَلَيْهِ أُمَّةٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ يَبْلُغُونَ مِائَةً كُلُّهُمْ يَشْفَعُونَ لَهُ إِلاَّ شُفِّعُوا فِيهِ
 
"Tidaklah seorang Muslim yang meninggal dunia, kemudian disolatkan oleh seratus orang daripada kalangan orang Islam, yang semuanya memohon syafaat (berdoa) untuknya, melainkan syafaat mereka diterima bagi pihaknya." - (HR Muslim No: 947) Status Hadis Sahih
 

Pengajaran Dan Hikmah Solat Jenazah Oleh Seratus Orang

 
1. Solat jenazah merupakan ibadah yang mengandungi doa, permohonan keampunan dan rahmat kepada Allah SWT bagi pihak si mati.

2. Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, bilangan seratus menunjukkan ramainya orang yang mendoakan si mati. Semakin ramai orang beriman yang ikhlas mendoakan keampunan buat si mati, semakin besar harapan agar doa tersebut diterima oleh Allah SWT.

Ilmu Yang Anda Cari:

3.    Solat jenazah memperlihatkan kekuatan ukhuwah Islamiah dan hubungan kasih sayang yang berterusan sesama Muslim dalam menunaikan hak dan tanggungjawab sehingga selepas kematian seseorang.
 
4. Seorang Muslim hendaklah menjaga dan membina hubungan baik dengan masyarakat ketika hidup agar memperoleh doa rahmat dan keampunan daripada Muslim yang lain apabila meninggal dunia.

5. Hadis ini menegaskan bahawa solat jenazah bukan sekadar satu kewajipan fardu kifayah, bahkan merupakan medan syafaat dan doa bagi si mati. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa apabila sekumpulan orang Islam yang beriman dan ikhlas menunaikan solat jenazah serta memohon keampunan untuknya, Allah SWT menerima syafaat mereka dengan rahmat-Nya.

Segala perkongsian di atas adalah sebagai ilmu baru untuk diri sendiri dan semoga ia juga bermanfaat kepada orang lain.
#Penafian:❤:
Gambar, artikel ataupun video yang ada di dalam blog ini ada sesetengahnya yang diambil dari pelbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika timbul masalah mengenai perkara ini, anda boleh menghubungi saya di Contact Me. Artikel dan catatan adalah ulasan serta pendapat peribadi saya berdasarkan persekitaran, pengalaman dan pengetahuan. Kesilapan (jika ada) adalah khilaf saya dan mohon dimaafkan. - ILMAN HATI.

Saturday, August 1, 2026

Doa Mustajab Dimulakan Dengan Pujian Kepada Allah

By On August 01, 2026
Doa Mustajab. Doa Yang Mustajab Dimulakan Dengan Pujian Kepada Allah. Itu yang saya pelajari selama bertahun-tahun, sejak dari sekolah agama lagi. Itulah ajaran ustaz ustazah kami dahulu, jadi memang benar sekali bahawa mulakan doa-doa anda dengan segala pujian kepada Allah SWT, rasulullah dan para sababat akan peroleh mustajab doa.
 
Doa Mustajab Dimulakan Dengan Pujian Kepada Allah

Doa Mustajab


Daripada Buraidah bin al-Hasib al Aslami RA: Bahawa Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki berdoa:

 
عَنْ بريدة بن الحصيب الأسلمي  :أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلًا يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ أَنِّي أَشْهَدُ أَنَّكَ أَنْتَ اللَّهُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، الْأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ، وَلَمْ يُولَدْ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ، فَقَالَ: لَقَدْ سَأَلْتَ اللَّهَ بِالِاسْمِ الَّذِي إِذَا سُئِلَ بِهِ أَعْطَى، وَإِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ

 
"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, bahawa diriku bersaksi sesungguhnya Engkau adalah Allah yang tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau Yang Maha Esa, tempat bergantung segala makhluk, yang tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan-Mu,” kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh engkau telah memohon kepada Allah dengan nama-Nya, yang apabila Dia diminta dengannya, Dia pasti akan memberi, dan jika Dia diseru dengannya, Dia akan memperkenankan doa”. (HR Abu Daud No:1493) Status Hasan Sahih
 

Pengajaran dan hikmah hadis di atas:

 
1.    Berdoa dengan menyebut nama-nama dan sifat-sifat Allah merupakan antara adab doa yang paling utama.
 
2.    Hadis ini mengandungi doa yang mengandungi pengakuan terhadap sifat-sifat Allah yang paling agung menjadi antara asas doa  diperkenan:
 
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ أَنِّي أَشْهَدُ أَنَّكَ أَنْتَ اللَّهُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، الْأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ،
 وَلَمْ يُولَدْ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ
 
3. Surah al-Ikhlas bukan sekadar surah untuk dibaca, tetapi juga menjadi antara doa yang mengandungi pengakuan tauhid yang sempurna. Tauhid didahulukan sebelum seseorang mengemukakan permohonan kepada Allah antara asbab doa diperkenankan.

Info Yang Anda Cari:

4. Keberkesanan doa bergantung kepada keikhlasan, keyakinan, adab serta kesucian hati, di samping rahmat Allah SWT.

5. Mengenali nama-nama dan sifat-sifat Allah akan meningkatkan rasa cinta, takut, harap dan tawakal kepada-Nya.

6. Hadis ini menunjukkan bahawa doa yang dimulakan dengan pujian kepada Allah, pengakuan terhadap keesaan dan kesempurnaan sifat-sifat Allah SWT sebelum menyatakan hajat dan permohonannya merupakan faktor yang mendekatkan seseorang kepada rahmat dan perkenan Allah SWT.

Semoga kita semua memperoleh manfaat dan bertambah faham akan panduan dan cara berdoa agar ia menjadi mustajab doa.
#Penafian:❤:
Gambar, artikel ataupun video yang ada di dalam blog ini ada sesetengahnya yang diambil dari pelbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika timbul masalah mengenai perkara ini, anda boleh menghubungi saya di Contact Me. Artikel dan catatan adalah ulasan serta pendapat peribadi saya berdasarkan persekitaran, pengalaman dan pengetahuan. Kesilapan (jika ada) adalah khilaf saya dan mohon dimaafkan. - ILMAN HATI.

Thursday, July 30, 2026

Fadhilat Membaca 3 Qul Sebelum Tidur

By On July 30, 2026
Fadhilat Membaca 3 Qul Sebelum Tidur. Kita dinasihatkan untuk membaca surah al Mulk sebelum tidur kerana ia akan membantu kita di alam kubur nanti. Tetapi kita juga digalakkan untuk membaca surah Al Ikhlas, al Falak & an Nas iaitu surah 3 Qul sebagai kelaziman juga. Mengapa? Kerana ketiga-tiga surah ini ada dalam amalan Rasulullah sebelum baginda tidur, iaitu sebagai perlindungan. 
 
Fadhilat Membaca 3 Qul Sebelum Tidur

Membaca Tiga Qul Sebelum Tidur

Bacalah tiga surah yang bermula dengan Qul. Insha Allah, dengan perlindungan Allah, kita semua akan selamat. 

Pengajaran dan cara amalan:

1.    Rasulullah SAW setiap malam sebelum tidur akan menghimpunkan kedua telapak tangannya, lalu membaca tiga surah iaitu Surah Al-Ikhlas (Qul huwal-lahu ahad), Surah Al-Falaq (Qul a'udhu bi rabbil-falaq), dan Surah An-Nas (Qul a'udhu bi rabbil-nas) kemudian meniup ketelapak tangan diikuti dengan menyapu ke seluruh anggota bermula dari kepala, muka dan anggota yang boleh dicapai dengan diulang sebanyak tiga kali.
 
2.    Imam al-Nawawi dalam al-Adzkar menjelaskan bahawa tiga surah ini adalah surah-surah perlindungan Surah Al-Ikhlas menegaskan tentang keesaan Allah, sementara Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas memohon perlindungan dari pelbagai kejahatan, baik yang kelihatan mahupun tidak, seperti gangguan syaitan, sihir, dan segala keburukan sepanjang malam tersebut.
 
3.    Menurut Ibn Kathir kandungan al-Muawwizat:

a)    Surah al-Ikhlas mengukuhkan tauhid dan mengenalkan sifat-sifat Allah.
 
b)   Surah al-Falaq memohon perlindungan daripada kejahatan luar seperti sihir, hasad dengki dan keburukan makhluk.
 
c)    Surah al-Nas memohon perlindungan daripada bisikan syaitan dan godaan yang merosakkan hati.
 
4.    Rasulullah SAW menunjukkan kepada kita amalan kebiasaan baik untuk dilakukan sebelum tidur agar menjadi pelindung daripada gangguan dan keburukan ketika tidur. Perlindungan sebenar datang daripada Allah SWT, manakala bacaan al-Quran dan doa menjadi sebab yang disyariatkan untuk memperoleh perlindungan tersebut.
 
5.    Membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq, dan Surah An-Nas sebelum tidur dengan meniup ke tapak tangan dan menyapu ke seluruh anggota badan adalah sunnah yang mudah dilakukan dan memberi manfaat besar untuk menjaga keselamatan kita. Dengan mengikuti sunnah ini, kita dapat memperoleh keamanan, ketenangan, dan perlindungan dalam hidup kita, serta mengukuhkan iman kita terhadap Allah yang Maha Melindungi.

Info Yang Anda Cari:

Hadis Berkenaan Membaca Tiga Qul Sebelum Tidur


Daripada Aisyah binti Abu Bakar RA, beliau berkata:

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ: جَمَعَ كَفَّيْهِ، ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا، فَقَرَأَ فِيهِمَا: قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ، وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ، ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ، يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ، يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ

Setiap kali Rasulullah SAW hendak tidur pada waktu malam, Baginda merapatkan kedua-dua tapak tangannya, Baginda membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas, kemudian meniup perlahan ke dalam kedua-dua tapak tangannya. Setelah itu Baginda menyapu dengan kedua-dua tangannya itu bahagian tubuh yang mampu dicapai, dimulakan dengan kepala, kemudian muka dan bahagian tubuh yang dapat dicapai oleh tangannya. Baginda melakukan amalan tersebut sebanyak tiga kali. -  (HR Bukhari No: 5017) Status: Hadis Sahih

Daripada itu dapat dibuat kesimpulan bahawa surah 3 Qul amat digalakkan fi baca sebelum tidur, kerana ia jadi perlindungan diri kepada pembacanya ketika tidur.

Wallahua'alam.
#Penafian:❤:
Gambar, artikel ataupun video yang ada di dalam blog ini ada sesetengahnya yang diambil dari pelbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika timbul masalah mengenai perkara ini, anda boleh menghubungi saya di Contact Me. Artikel dan catatan adalah ulasan serta pendapat peribadi saya berdasarkan persekitaran, pengalaman dan pengetahuan. Kesilapan (jika ada) adalah khilaf saya dan mohon dimaafkan. - ILMAN HATI.

Saturday, July 25, 2026

Bulan Safar - Tiada Kepercayaan Buruk

By On July 25, 2026
Bulan Safar - Tiada Kepercayaan Buruk. Selepas Muharam berakhir, datanglah bulan baru iaitu safar. Bulan safar adalah bulan kedua dalam kalendar bulan Islam. Jika Muharam dikenali sebagai bulan baik, yang di dalamnya banyak amalan yang diberi ganjaran pahala berganda, tetapi tak kurang juga dengan bulan safar. Tak mengira apa bulan yang kita berada.. lakukan amalan baik dan ibadah kita berganda lagi agar kita juga diberikan ganjaran yang tidak kurang hebatnya seperti bulan-bilan Islam yang lain. Insha Allah   
 

Tiada Kepercayaan Buruk Terhadap Bulan Safar


Bulan Safar - Tiada Kepercayaan Buruk

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda;
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: لَا عَدْوَى، وَلَا طِيَرَةَ، وَلَا هَامَةَ، وَلَا صَفَرَ، وَفِرَّ مِنَ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنَ الْأَسَدِ.
 
"Tidak ada penyakit berjangkit yang menular dengan sendirinya (tanpa ketentuan Allah), tidak ada kepercayaan sial kerana burung, tidak ada kepercayaan tentang burung hantu (yang membawa petanda buruk), dan tidak ada kepercayaan terhadap bulan Safar sebagai pembawa malang. Namun, jauhilah orang yang menghidap penyakit kusta sebagaimana kamu lari daripada seekor singa." - (HR Bukhari No: 5707) Status Hadis Sahih
 

Pengajaran & Hikmah Daripada Hadis 

 
1.    Islam menolak semua bentuk kepercayaan khurafat, tahyul dan sangkaan bahawa sesuatu selain Allah mempunyai kuasa mutlak menentukan manfaat atau mudarat.
 
2.    Seorang Muslim hendaklah menjauhkan diri daripada kepercayaan buruk tentang sesuatu contohnya bulan Safar membawa kecelakaan, haiwan tertentu seperti bunyi burung hantu atau pelesit masuk dalam rumah sebagai tanda membawa sial.
 
3.    Masyarakat Arab Jahiliah menganggap bulan Safar membawa nasib buruk dan tidak sesuai untuk bermusafir, berniaga atau berkahwin. Islam menolak kepercayaan tersebut kerana semua bulan adalah ciptaan Allah dan tidak mempunyai kuasa membawa manfaat atau mudarat dengan sendirinya.
 
4.    Penyakit berjangkit berlaku dengan izin Allah SWT, namun manusia tetap diwajibkan mengambil langkah pencegahan yang munasabah. Hal ini selaras dengan kaedah fiqh: - Menghindari kemudaratan hendaklah diutamakan.
 
5.    Tawakal kepada Allah hendaklah disertai dengan ikhtiar yang dibenarkan oleh syarak.

6.    Kita telah berada di bulan Safar, bulan kedua di dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram. Tiada perkara buruk yang dinisbahkan dengan bulan Safar ini. Jauhi amalan khurafat seperti mandi safar untuk menolak bala di bulan ini.
 
7.    Menjaga kesihatan diri dan masyarakat merupakan tuntutan agama serta sebahagian daripada pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs). Sementara menjaga dan memelihara akidah daripada kepercayaan khurafat juga tuntutan agama untuk memelihara akidah (hifz al-din).
 
8.    Hadis ini merupakan peringatan Rasulullah SAW agar kita menolak kepercayaan masyarakat Jahiliah yang mengaitkan penyakit, burung, bulan safar atau tanda-tanda tertentu dengan kuasa membawa manfaat atau mudarat secara bebas, kerana semua perkara berlaku di bawah ketentuan Allah SWT. Pada masa yang sama, Baginda mengarahkan umat Islam supaya mengelakkan punca-punca penyakit dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya, termasuk menjauhi risiko jangkitan.

Semoga kita dapat memahami dan mengambil pengajaran tentang apa yang betul dan apa yang salah tentang tanggapan kita terhadap bulan-bulan tertentu.  
#Penafian:❤:
Gambar, artikel ataupun video yang ada di dalam blog ini ada sesetengahnya yang diambil dari pelbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika timbul masalah mengenai perkara ini, anda boleh menghubungi saya di Contact Me. Artikel dan catatan adalah ulasan serta pendapat peribadi saya berdasarkan persekitaran, pengalaman dan pengetahuan. Kesilapan (jika ada) adalah khilaf saya dan mohon dimaafkan. - ILMAN HATI.

Sunday, July 19, 2026

Doa Bersihkan Hati Dari Kepercayaan Karut

By On July 19, 2026
Doa Bersihkan Hati Dari Kepercayaan Karut. Kini kita berada dalam akhir zaman di mana carian maklumat boleh dilakukan di hujung jari je, tanpa sempadan. Kita tak tahu dari banyaknya maklumat, yang mana betul yang mana salah. Oleh sebab itu kita digalakkan untuk belajar dengan berguru iaitu kena ada orang tempat merujuk dan yang pakar dalam bidangnya. Jika tidak pasti, kena tanya. Jangan biarkan hidup kita selamanya dalam kekeliruan.

Doa Bersihkan Hati Dari Kepercayaan Karut

Selain itu, boleh juga memohon kepada Allah agar kita dibersihkan hati daripada mempercayai sesuatu perkara yang karut, dan hanya Allah saja tempat kita memohon pertolongan!!

Daripada Abdullah bin Amr bin al-As RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ رَدَّتْهُ الطِّيَرَةُ مِنْ حَاجَةٍ فَقَدْ أَشْرَكَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا كَفَّارَةُ ذَلِكَ قَالَ أَنْ يَقُولَ أَحَدُهُمْ اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

"Sesiapa yang dihalang oleh kepercayaan kepada petanda sial daripada meneruskan sesuatu urusannya, maka sesungguhnya dia telah melakukan syirik." Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah kaffarah (penebus) bagi perkara itu?" Baginda bersabda: "Hendaklah seseorang itu mengucapkan: 'Ya Allah, tiada kebaikan melainkan kebaikan daripada-Mu, tiada petanda (kesialan) melainkan yang telah Engkau takdirkan, dan tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau.'" - (HR Ahmad, No: 6748) Status: Hadis Hasan

Daripada hadis di atas, kita boleh simpulkan bahawa;-

1. Islam melarang kepercayaan kepada petanda sial kerana ia bercanggah dengan prinsip tauhid, contohnya bulan Safar sebagai bulan sial, bunyi burung tertentu sebagai petanda membawa malapetaka.

2. Mengubah keputusan hidup semata-mata kerana kepercayaan tahyul boleh termasuk dalam perbuatan syirik kerana bergantung kepada selain Allah, contohnya mempercayai bulan Safar atau burung tertentu membawa keburukan sehingga menghalangnya melakukan sesuatu seperti bermusafir atau mengadakan majlis pernikahan.

3. Menurut Imam al-Qurtubi, semua bentuk kepercayaan seperti: nombor membawa sial; hari tertentu membawa malang; burung tertentu membawa musibah; bunyi tertentu menjadi petunjuk nasib; warna tertentu membawa bala, adalah bercanggah dengan prinsip tauhid kerana manfaat dan mudarat hanya berada dalam kekuasaan Allah SWT.
 
4.    Setiap Muslim mesti meyakini bahawa manfaat dan mudarat hanya berada di bawah kekuasaan Allah SWT serta wajib  membina sikap tawakal dengan mengambil sebab yang dibenarkan syarak, bukan bergantung kepada petanda atau kepercayaan karut.

Info Yang Anda Cari:

Doa Bersihkan Hati Dari Kepercayaan Karut


Rasulullah SAW mengajarkan doa yang mengembalikan keyakinan dan pergantungan sepenuhnya kepada Allah apabila timbul perasaan tersebut. Rasulullah SAW mengajar doa ini:

اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Maksudnya: 

Ya Allah, tiada kebaikan melainkan kebaikan-Mu dan tiada kesialan kecuali yang telah Engkau takdirkan dan tiada tuhan yang disembah selain Engkau.
 
6. Islam menggalakkan sikap optimis dan bersangka baik kepada Allah, bukan hidup dalam ketakutan terhadap perkara yang tidak mempunyai sandaran syarak.

Daripada penerangan di atas, dapatlah kiranya kita mengambil serius tentang apa yang kita percayai dan yakini dalam melakukan sesuatu perkara. Semua kebaikan mintalah dengan Allah dan doalah agar kita dijauhi daripada hati yang was-was dan berteka-teki. Allah Maha Baik, apa yang kita minta pasti akan dimakbulkan samada cepat atau lambat.
#Penafian:❤:
Gambar, artikel ataupun video yang ada di dalam blog ini ada sesetengahnya yang diambil dari pelbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika timbul masalah mengenai perkara ini, anda boleh menghubungi saya di Contact Me. Artikel dan catatan adalah ulasan serta pendapat peribadi saya berdasarkan persekitaran, pengalaman dan pengetahuan. Kesilapan (jika ada) adalah khilaf saya dan mohon dimaafkan. - ILMAN HATI.

Friday, July 17, 2026

Surah Al Ikhlas Umpama Sepertiga Al Quran

By On July 17, 2026
Surah al Ikhlas. Surah Al Ikhlas Umpama Sepertiga Al Quran. Sejak kecil inilah surah lazim yang selalu diulang-ulang, mudah dibaca dan paling banyak diamalkan di dalam solat. Kerana surahnya pendek dan tinggi maksudnya.

Dalam satu bacaan, saya ambil coretan ini. Sabda Rasulullah SAW: Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahadu itu tertulis di sayap malaikatJibrail a.s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s, Lamyalid walam yuulad tertulis pada sayap malaikat Izrail a.s, Walamyakullahu kufuwanahadu - tertulis pada sayap malaikat Israfil a.s.

Surah Al Ikhlas Umpama Sepertiga Al Quran

Surah Al Ikhlas - tanda ikhlasnya kepada apa saja Allah berikan kepada kita dan kita membalasnya dengan mengamalkan surah ini berkali-kali setiap hari, juga sebagai tanda mentauhidkan DIA lah Allah satu-satunya, tiada TUHAN selain Allah. MasyaAllah Tabarakallah! Ya Allah, aku ikhlas atas segalanya!
 

Surah Al-Ikhlas Umpama Sepertiga Al-Quran

 
Daripada Abu Darda RA bahawa Nabi SAW bersabda:

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ فِي لَيْلَةٍ ثُلُثَ الْقُرْآنِ ؟ قَالُوا : وَكَيْفَ يَقْرَأْ ثُلُثَ الْقُرْآنِ ؟ قَالَ : قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ تَعْدِلُ ثُلُثَ الْقُرْآنِ

"Adakah salah seorang daripada kamu tidak mampu untuk membaca sepertiga al-Quran pada waktu malam? Para sahabat bertanya: Bagaimanakah seseorang mampu membaca sepertiga al-Quran? Baginda bersabda: Qul Huwa Allahu Ahad (surah al-Ikhlas) menyamai sepertiga al-Quran.” - (HR Muslim No: 811) Status Hadis Sahih

Mengapa Surah Al Ikhlas Diumpamakan Sepertiga Al Quran?


1. Surah al-Ikhlas mempunyai kedudukan yang tinggi dalam al-Quran kerana kandungannya menghimpunkan asas tauhid.
 
2. Ganjaran membaca Surah al-Ikhlas menyamai ganjaran membaca sepertiga al-Quran dari sudut pahala dan kandungan, bukan sebagai pengganti keseluruhan al-Quran.

3. Tauhid merupakan teras utama ajaran Islam dan menjadi asas kepada semua ibadah serta akhlak. Surah al-Ikhlas menghimpunkan tema tauhid dan akidah yang nilainya menyamai satu pertiga daripada keseluruhan kandungan al-Quran di mana satu pertiga lagi berkaitan hukum hakam dan satu pertiga berbaki tentang janji dan ancaman.

4. Hadis ini menunjukkan keagungan surah al-Ikhlas, menggalakkan umat Islam membanyakkan membaca al-Quran di samping menjadikan bacaan Surah al-Ikhlas sebagai amalan harian.

5. Seorang Muslim hendaklah memahami makna Surah al-Ikhlas, dan menghayati mesej tauhid yang terkandung di dalamnya bukan sekadar menghafaz serta membacanya. Semoga keimanan, keikhlasan dan pergantungan kepada Allah SWT sentiasa terpahat dalam kehidupan.

6. Pendidikan akidah yang mantap akan melahirkan keikhlasan dalam ibadah dan keteguhan dalam menghadapi cabaran kehidupan.
 

Penutup 

Surah Al Ikhlas adalah antara surah 3 Qul yang selalu dibaca. Ia adalah kisah mentauhidkan Allah, tanda ikhlas kita sebagai hamba kepada TuhanNya. Jadikan surah Al Ikhlas sebagai amalan harian yang dibaca pada bila-bila masa, terutamanya sewaktu nak tidur. Ada banyak ganjaran tak terkira dan khasiat jika diamalkan dengan ikhlas jua. Insha Allah.
 
#Penafian:❤:
Gambar, artikel ataupun video yang ada di dalam blog ini ada sesetengahnya yang diambil dari pelbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika timbul masalah mengenai perkara ini, anda boleh menghubungi saya di Contact Me. Artikel dan catatan adalah ulasan serta pendapat peribadi saya berdasarkan persekitaran, pengalaman dan pengetahuan. Kesilapan (jika ada) adalah khilaf saya dan mohon dimaafkan. - ILMAN HATI.

Thursday, July 16, 2026

Berdoa Dengan Asmaul Husna - As Salam

By On July 16, 2026
Berdoa Dengan al Asmaul Husna As Salam | Al Asmaul Husna adalah 99 nama Allah yang sering kita amalkan dalam kehidupan kita. Lagi afdhal jika boleh menjadikannya sebagai doa dan zikir harian kita. Di harap apa yang saya kongsikan di bawah memberikan manfaat kepada kita semua.

Berdoa Dengan Asmaul Husna - As Salam

Berdoa Dengan al Asmaul Husna As Salam


1) Baca kalimah di bawah ini terlebih dahulu:
Berdoa Dengan Asmaul Husna - As Salam


2) Kemudian baru di baca asmaul husnaa yang berikut:

Ya Salam  = 136 Kali

Ertinya : Dialah yang memegang keselamatan seluruh alam dan hanya Dialah yang Maha Selamat dari segala cacat cela dan kekurangan.

Biasakanlah membaca Ya Salamu setiap hari sebanyak 136 kali, in shaa Allah jasmani dan rohani kita akan terjaga dari segala Penyakit, sehingga badan menjadi segar bugar dan sihat sejahtera.

3) Kemudian setelah selesai membaca asmaul husnaa di atas, lalu teruskan membaca kalimah seperti di bawah ini:

Berdoa Dengan Asmaul Husna - As Salam

4) Akhir sekali berdoalah untuk perkara yang dihajati dengan penuh keyakinan, khusyuk dan tawadduk hanya kepada Allah. Allah Maha Mendengar doa hamba-hambaNya.

Rujukan:

1. Himpunan ayat-ayat al-Quran dan Khasiat Bismillah, Surah al-Fatihah, ayatul Kursi, Surah al-Ikhlas dan Surah al-Qadr & Asmaul Husnaa - Muhfudli Sahli
 
#Penafian:❤:
Gambar, artikel ataupun video yang ada di dalam blog ini ada sesetengahnya yang diambil dari pelbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika timbul masalah mengenai perkara ini, anda boleh menghubungi saya di Contact Me. Artikel dan catatan adalah ulasan serta pendapat peribadi saya berdasarkan persekitaran, pengalaman dan pengetahuan. Kesilapan (jika ada) adalah khilaf saya dan mohon dimaafkan. - ILMAN HATI.

Random

About Us


Ilman Hati - (sejak 2018) - Perkongsian himpunan tazkirah. Email:aynora.nur@gmail.com

DMCA.com Protection Status