Tiada Kepercayaan Buruk Terhadap Bulan Safar

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda;
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: لَا عَدْوَى، وَلَا طِيَرَةَ، وَلَا هَامَةَ، وَلَا صَفَرَ، وَفِرَّ مِنَ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنَ الْأَسَدِ.
"Tidak ada penyakit berjangkit yang menular dengan sendirinya (tanpa ketentuan Allah), tidak ada kepercayaan sial kerana burung, tidak ada kepercayaan tentang burung hantu (yang membawa petanda buruk), dan tidak ada kepercayaan terhadap bulan Safar sebagai pembawa malang. Namun, jauhilah orang yang menghidap penyakit kusta sebagaimana kamu lari daripada seekor singa." - (HR Bukhari No: 5707) Status Hadis Sahih
Pengajaran & Hikmah Daripada Hadis
1. Islam menolak semua bentuk kepercayaan khurafat, tahyul dan sangkaan bahawa sesuatu selain Allah mempunyai kuasa mutlak menentukan manfaat atau mudarat.
2. Seorang Muslim hendaklah menjauhkan diri daripada kepercayaan buruk tentang sesuatu contohnya bulan Safar membawa kecelakaan, haiwan tertentu seperti bunyi burung hantu atau pelesit masuk dalam rumah sebagai tanda membawa sial.
3. Masyarakat Arab Jahiliah menganggap bulan Safar membawa nasib buruk dan tidak sesuai untuk bermusafir, berniaga atau berkahwin. Islam menolak kepercayaan tersebut kerana semua bulan adalah ciptaan Allah dan tidak mempunyai kuasa membawa manfaat atau mudarat dengan sendirinya.
4. Penyakit berjangkit berlaku dengan izin Allah SWT, namun manusia tetap diwajibkan mengambil langkah pencegahan yang munasabah. Hal ini selaras dengan kaedah fiqh: - Menghindari kemudaratan hendaklah diutamakan.
5. Tawakal kepada Allah hendaklah disertai dengan ikhtiar yang dibenarkan oleh syarak.
6. Kita telah berada di bulan Safar, bulan kedua di dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram. Tiada perkara buruk yang dinisbahkan dengan bulan Safar ini. Jauhi amalan khurafat seperti mandi safar untuk menolak bala di bulan ini.
7. Menjaga kesihatan diri dan masyarakat merupakan tuntutan agama serta sebahagian daripada pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs). Sementara menjaga dan memelihara akidah daripada kepercayaan khurafat juga tuntutan agama untuk memelihara akidah (hifz al-din).
8. Hadis ini merupakan peringatan Rasulullah SAW agar kita menolak kepercayaan masyarakat Jahiliah yang mengaitkan penyakit, burung, bulan safar atau tanda-tanda tertentu dengan kuasa membawa manfaat atau mudarat secara bebas, kerana semua perkara berlaku di bawah ketentuan Allah SWT. Pada masa yang sama, Baginda mengarahkan umat Islam supaya mengelakkan punca-punca penyakit dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya, termasuk menjauhi risiko jangkitan.
Semoga kita dapat memahami dan mengambil pengajaran tentang apa yang betul dan apa yang salah tentang tanggapan kita terhadap bulan-bulan tertentu.
#Penafian:❤:
Gambar, artikel ataupun video yang ada di dalam blog ini ada sesetengahnya yang diambil dari pelbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika timbul masalah mengenai perkara ini, anda boleh menghubungi saya di Contact Me.
Artikel dan catatan adalah ulasan serta pendapat peribadi saya berdasarkan persekitaran, pengalaman dan pengetahuan. Kesilapan (jika ada) adalah khilaf saya dan mohon dimaafkan. - ILMAN HATI.


0 Comments