Apakah ciri-ciri seorang pemimpin yang disukai rakyat? Apakah dia perlulah seorang yang kaya raya? Adakah seorang pemimpin mesti pemurah, sentiasa menolong rakyatnya? Atau prmimpin yang disayangi mestilah seorang yang jujur, kuat bekerja dan membawa rakyatnya kepada kebaikan? Itu yang perlu kita sendiri cari sebagai rakyat. Selain ciri-ciri pemimpinnya, kita kena tengok juga siapa orang di sebalik tabir seorang pemimpin. Jadi, pembantu pemimpin perlulah seorang yang jujur, yang akan menyimpan segala aibnya.
Pemimpin Perlu Pembantu Yang Jujur
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِالْأَمِيرِ خَيْرًا جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ
Daripada Aisyah RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Apabila Allah menghendaki kebaikan pada diri pemimpin maka Allah akan menjadikan baginya menteri (pembantu) yang jujur, apabila ia lupa maka ia akan mengingatkannya dan apabila ia ingat maka ia akan membantunya. Dan apabila Allah menghendaki selain itu (keburukan) pada diri seorang pemimpin maka Allah jadikan baginya menteri (pembantu) yang buruk, apabila ia lupa maka ia tidak mengingatakannya, dan apabila ia ingat maka ia tidak membantunya." - (HR Abu Daud No: 2543) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Pemimpin memikul tugas dan tanggungjawab yang berat. Pemimpin memerlukan pembantu yang boleh meringankan tugas kepimpinan.
2. Jika Allah mahukan kebaikan kepada pemimpin, nescaya akan diberikan kepadanya pembantu yang baik dan jujur. Pembantu yang baik, akan berusaha dengan kemahiran yang ada membantu melaksanakan tugas-tugas ketua dengan cemerlang dan sentiasa diredhai Allah.
3. Pembantu dan pekerja yang baik memiliki sifat kuat (berkemampuan) dan amanah seperti firman Allah:
إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَئْجَرْتَ الْقَوِىُّ الاَمِينُ
*Sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.* [al-Qasas:26]
Sebaik-baik pekerja ialah yang memiliki dua sifat iaitu kuat yang merujuk kepada skill serta kemampuan melaksanakan tugas dan amanah yang merujuk kepada orang yang dipercayai dan takut kepada Allah serta tidak menyeleweng.
4. Pembantu yang baik akan memberikan maklumat yang tepat dan benar kepada ketua agar tindakan dapat diambil dengan tepat dan hikmah.
5. Pembantu yang jujur, akan mengingatkan kepada ketua jika lupa atau silap dan akan segera membantu, bukan turut sama mengiakan kesilapan.
6. Pemimpin atau ketua sewajarnya melantik pembantu yang benar-benar layak, amanah dan bertaqwa untuk membantunya memimpin organisasi atau Negara dengan baik.
7. Jika kita sebagai ketua, pastikan pembantu yang dipilih benar-benar layak dan sentiasa bersedia mengingatkan pemimpin bukan hanya pembodek dan pengambil kesempatan.
8. Sebagai rakyat yang berhak mengundi dalam PRU 15 ini, menjadi tanggungjawab anda untuk mengundi pemimpin yang berintegriti, memiliki kemampuan dan amanah yang akan memacu kemakmuran dan kestabilan Negara.
Jika kita pembantu, jadilah kita orang yang berusaha memastikan ketua kita berada di atas landasan yang betul dan diredhai Allah bukan membiarkan ketua berterusan dalam kemurkaan Allah.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua. Jagalah orang di sekitar kita agar sentiasa dalam persekitaran yang baik dan ada yang sentiasa mengingatkan.