Sebelum tidur adalah antara waktu terbaik untuk membaca ayat Kursi kerana di dalam tidur kita tidak tahu apa yang terjadi kepada diri kita. Maka, dengan amalan membaca ayat Kursi sebelum tidur, Allah akan menghantarkan beribu Malaikatnya untuk melindungi kita. Insha Allah.

Membaca Ayat Kursi Sebelum Tidur, Apa Hikmahnya?
Bacaan ayat Al-Kursi sebelum tidur, dapat melindungi kita dari gangguan syaitan yang direjam. Ada banyak hadis yang membincangkan tentang keutamaan dan hikmah jika membaca ayat Kursi setiap hari, terutamanya sebelum masuk tidur, antaranya;
1. Hadis di bawah ini menceritakan peristiwa Abu Hurairah RA yang bertugas menjaga gudang zakat. Beliau berjaya menangkap seseorang yang mengambil makanan zakat tanpa izin. Apabila Abu Hurairah RA hendak melaporkan kejadian tersebut kepada Nabi SAW, lelaki yang ditangkap itu memberitahu bahawa sesiapa yang membaca ayat al-Kursi sebelum tidur, dia akan dilindungi daripada gangguan syaitan sehingga waktu pagi. Abu Hurairah telah mengkhabarkan hal tersebut kepada Nabi. Nabi SAW kemudian mengesahkan kebenaran kata-kata syaitan yang menyamar itu meskipun ia adalah pendusta.
2. Imam al-Nawawi dalam al-Majmu' menyatakan bahawa membaca Ayat al-Kursi sebelum tidur adalah sangat disyorkan, kerana ia memberikan perlindungan daripada syaitan dan kejahatan lainnya hingga waktu pagi.
3. Imam al-Qurtubi dalam al-Jami' li Ahkam al-Quran menyebutkan bahawa Ayat al-Kursi mengandung pernyataan tentang keagungan dan kebesaran Allah, serta kekuasaan-Nya yang meliputi segala sesuatu, sehingga dengan membacanya sebelum tidur, seseorang akan terlindung dari segala gangguan syaitan dan bahaya lainnya.
4. Syaitan sering menggunakan cara yang halus untuk menggoda umat Islam, termasuk berpura-pura ingin menolong atau memberikan nasihat yang baik. Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa tidak semua yang kelihatan baik adalah benar. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dengan merujuk kepada orang yang ahli dan berpegang kepada sunnah Nabi dalam setiap amalan.
5. Hadis ini juga mengajarkan kita tentang perlindungan yang diberikan oleh Allah apabila kita membaca Ayat al-Kursi sebelum tidur. Amalan ini yang sangat dianjurkan kerana mempunyai manfaat besar untuk menghindari gangguan syaitan serta mendapatkan keberkatan dan perlindungan Allah.
Inilah hadisnya, daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: وَكَّلَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحِفْظِ زَكَاةِ رَمَضَانَ، فَأَتَانِي آتٍ، فَجَعَلَ يَحْثُو مِنْ الطَّعَامِ، فَأَخَذْتُهُ فَقُلْتُ: لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - فَذَكَرَ الْحَدِيثَ - فَقَالَ: إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الْكُرْسِيِّ، لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنْ اللَّهِ حَافِظٌ، وَلَا يَقْرَبُكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ، ذَاكَ شَيْطَانٌ
Maksudnya :
Rasulullah SAW telah memerintahkan saya untuk menjaga zakat Ramadan. Lalu datang seseorang yang mulai mengambil makanan dengan tangannya, maka aku menangkapnya dan berkata, 'Aku akan membawamu kepada Rasulullah SAW.' Lelaki itu berkata: "Apabila engkau hendak tidur, bacalah Ayat al-Kursi. Nescaya Allah akan sentiasa mengutuskan penjaga untukmu dan syaitan tidak akan menghampirimu sehingga pagi." Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda: "Dia telah berkata benar kepadamu, walaupun dia seorang pendusta. Dia itu ialah syaitan."*_ (HR Bukhari No: 2311) Status: Hadis Sahih
Penutup
Kita memang digalakkan untuk mengamalkan membaca ayat Kursi dalam banyak keadaan seperti selepas solat fardhu, sewaktu nak tidur, sewaktu nak keluar rumah dan banyak lagi. Inilah kerana ayat Kursi disebut sebagai penghulu segala ayat dan ia juga ayat yang disebut sebagai perisai daripada syaitan. Semoga kita istiqamah mengamalkannya dalam kehidupan seharian kita.
#Penafian:❤:
Gambar, artikel ataupun video yang ada di dalam blog ini ada sesetengahnya yang diambil dari pelbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika timbul masalah mengenai perkara ini, anda boleh menghubungi saya di Contact Me.
Artikel dan catatan adalah ulasan serta pendapat peribadi saya berdasarkan persekitaran, pengalaman dan pengetahuan. Kesilapan (jika ada) adalah khilaf saya dan mohon dimaafkan. - ILMAN HATI.

0 Comments